Oleh : Aimi Sani / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 3 Januari. - DPMM FC menang selesa ke atas PDRM FC dengan keputusan berakhir 3 – 1 pada saingan Liga Super Malaysia 2025 / 2026 yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah (SNHB), malam tadi.
Kemenangan berkenaan merupakan kemenangan keempat berturut-turut tanpa kalah buat DPMM FC.
Berangkat menyaksikan perlawanan berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan kerabat diraja dijunjung oleh Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Pada separuh masa pertama menyaksikan DPMM FC lebih bijak mengawal permainan, namun beberapa percubaan yang dilakukan gagal menemui sasaran.
Sementara itu, PDRM FC turut beberapa kali cuba membolosi gawang DPMM FC melalui serangan balas pantas, namun ketumpulan penyudah menyaksikan mereka gagal mencipta sebarang jaringan.
Sebaik memasuki separuh masa kedua, Muhammad Hakeme Yazid Said menggandakan usaha dengan menjaringkan gol pertama buat DPMM FC seawal minit ke-46. Tekanan berterusan tuan rumah membuahkan hasil apabila Jordan David Murray menambah jaringan kedua buat DPMM FC pada minit ke-63.
PDRM FC cuba bangkit dan berjaya meraih gol tunggal mereka pada minit ke-85 melalui sepakan Muhammad Fakhrul Azim Mohd Zulphatah. Namun, selang dua minit kemudian, harapan PDRM FC untuk mencipta kebangkitan terus berkecai apabila Muhammad Hakeme Yazid Said sekali lagi menggegarkan gawang pihak lawan dengan menjaringkan gol ketiga DPMM FC.
Keputusan kekal 3 - 1 sehingga tamat perlawanan.
Dalam pada itu, Pengurus DPMM FC, Jamie McAllister semasa berucap pada sidang media yang berlangsung selepas perlawanan berkata bahawa meskipun pasukannya harus bermain dalam hujan dan keadaan padang yang basah, namun DPMM FC tetap menunjukkan semangat dan ketahanan yang baik walaupun tidak mencatat sebarang gol pada separuh masa pertama, namun mereka bangkit dan tidak mensia-siakan peluang yang ada pada separuh masa kedua.
Pada perlawanan seterusnya, DPMM FC akan menentang Selangor FC pada Sabtu depan, 10 Januari 2025, jam 8.15 malam di SNHB.
Sementara itu, DPMM FC berada di kedudukan ketujuh dengan kutipan 17 mata, manakala PDRM FC kekal di kedudukan ke-13 dengan kutipan enam mata.